Saturday, 2 June 2012

Sajak ( Puisidra Sains )

Tahun 2000, aku mula mengajar di Sungai Petani mengikut suami yang ditukarkan ke Sungai Petani. Di sinilah aku mula mengenali puisidra Sains.

Dulu-dulu zaman maktab pernah menyertai Angkatan Sasterawan Muda (ASASMU) di bawah bimbingan Encik Nurudin. Di SKSP, aku mula terlibat dengan puisidra Sains. Kali ini aku dibimbing oleh Pn.Ku Nurgayah, Pn.Che Pora dan guru-guru lain.

Aku seterusnya diberi kepercayaan untuk cuba mengasah bakat mengarang puisi Sains. Lama tak mengajar subjek Sains, jadi terpaksalah membaca semula buku-buku Sains. Rakan-rakan seperti Tn. Haji Hanip, En.Lim , Pn. Nurshafini (ketua Panitia Sains )dan tidak lupa PPPP pada masa itu En. Azmi dan Guru Besar Encik Hamzah banyak memberikan suntikan semangat.

Akhirnya terciptalah sajak berikut : ( Tajuk dipilih berdasarkan perbincangan dengan rakan-rakan)

Anjakan Paradigma Sainstis Muda

Satu, satu demi satu ,
kuntuman flora berkembang
memikat unggas dan serangga,
datang menghirup madunya,
mereka..bagai terkena tarikan magnet,
bau, warna jadi pemikat,
kesudahannya,
stamen sampai ke stigma,
pendebungaan berlaku.
Kemandirian spesies berterusan,
lahirlah generasi baru.

dan mentaripun bersinar,
rimba..melindungi mergastua masih hidup,
interaksi organisma masih wujud,
yang gagah menyingkirkan yang lemah,
akhirnya, organisma lemah pupus.
demikianlah realitinya.
dan evolusi itu,
melenyapkan kehijauan di mata,
membunuh kepercayaan,
atas nama sains,
semua itu harus dikorbankah?

Aku hidup dalam igauan,
konflik menawan diri.
Seterusnya masih aku saksikan,
alam permai kehilangan hutannya,
udara nyaman mengasap, berdebu,
pembakaran hutan..ozon makin menipis,
penerokaan tanah menjadi-jadi,
fotosintesis tidak akan dapat,
membekalkan oksigen secukupnya,
hutan batu tumbuh melata,
kilang-kilang bercambah bagai cendawan,
sulfur dioksida, nitrigen dioksida,
terampai di udara,
kondensasi menanti masa,
menggugurkan beban berasid,
kandungan nutrien berkurangan.

Kemanusiaan terus tercabar,
penciptaan senjata canggih, bom pintar,
menggugat alam indah ini,
bumi rimas dan panas,
revolusi order baru lebih mengganas,
cuba melenyapkan kemanusiaan,
menyingkirkan ketamadunan.

Nak..nak..sudahlah,
singkirkan dendam kesumatmu,
berjuanglah dengan aman,
Sedarkan, celikkan minda mereka.
Kekalkan flora dan fauna,
hijaukan bumi,
imbangkan ekologi,
pembangunan teknologi tidak sesat,
mereka yang haloba menyesatkannya.

Musibah akhirnya, berjaya meleburkan pejal egoku,
Petunjuk-Mu mengetuk pintu sedarku,
Akan ku semai debunga mewangi,
dengan tangan-tangan akal dan budi.
Mari..mari usahakan syurga di bumi,
mentari akan lebih bertenaga,
hujan rahmat menyirami, menyuburkan.
Pelangi kembali menyinari,
tujuh warna pasti diserakkan,
spektrum tersenyum.

Uar-uarkan mesej kedamaian,
hidupkan kempen.
Selamatkan bumi,
Kitar semula bahan buangan,
nyahkan..nyahkan taksid dari perut bumi,

laut, sungai dan tasik,
bersih, suci dari segala cemar,
hidupan akuatik, penghuni belantara,
mergastua, flora dan fauna,
Semuanya pasti diselamatkan.
Kemajuan Sains memungkinkan segalanya,
kecuali menghidupkan si mati,
kini aku meneruskan kehidupan lebih sempurna.
merdekakan Sains..
terima kasih Sains.

No comments:

Post a Comment